Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Tapak Projek LRT Laluan Mutiara Diserah, Perkukuh Pengangkutan Awam Pulau Pinang

By 11 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Mohd Kamal Khamaruzzaman

SUNGAI NIBONG, 11 April (MalaysiaAktif) – Pembangunan sistem pengangkutan awam moden di Pulau Pinang terus diperkukuh apabila Majlis Penyerahan Tapak Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kiri) bersama Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook (kanan), bergambar kenangan di replika LRT Laluan Mutiara sempena Majlis Penyerahan Tapak di Sungai Nibong

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebagai simbolik penyerahan tapak antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Malaysia Rapid Transit (MRT) Corporation Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang dinantikan rakyat negeri ini.

Menurut Loke kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong akan dibangunkan sebagai sebahagian daripada hab pengangkutan bersepadu yang merangkumi pembinaan stesen LRT dan depoh bagi menyokong operasi Laluan Mutiara secara menyeluruh.

”Kerajaan Persekutuan amat memahami nilai sentimental Tapak Pesta Sungai Nibong kepada masyarakat Pulau Pinang.

“Justeru MRT Corp telah meneliti semula reka bentuk depoh bagi mengurangkan keperluan tanah kira-kira 11.5 hektar, sekali gus memastikan hanya sebahagian tapak digunakan untuk operasi,” katanya pada majlis berkenaan.

Wakil pihak MRT Corp menyampaikan taklimat berrkaitan projek LRT Laluan Mutiara

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, menyifatkan majlis penyerahan tapak ini sebagai detik bersejarah dalam usaha jangka panjang negeri membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap dan mampan.

Menurut beliau, projek ini yang dianggarkan bernilai RM15 bilion hingga 16 bilion tersebut merupakan salah satu komponen utama dalam memacu Visi Penang20230 ke arah pembangunan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Jana Santhiran Munianyan serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Mohd Zarif Mohd Hashim.

-AA-

Tinggalkan komen anda