
Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/KPDN Pahang
KUANTAN, 16 April (MalaysiaAktif)– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas 14,870 liter diesel yang disimpan tanpa permit sah menerusi Op Tiris 4.0 di sebuah tapak pembinaan di Mukim Penor, di sini pada Isnin.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Pahang Md Zaki Abd Samad berkata siasatan awal mendapati bahan api yang disimpan dalam sebuah skid tank tersebut dipercayai digunakan bagi operasi jentera pembinaan.
“Walau bagaimanapun, pihak syarikat gagal mengemukakan permit penyimpanan yang sah bagi lokasi berkenaan meskipun memiliki permit di lokasi lain.
“Sehubungan itu, pihak kami telah mengambil tindakan tegas dengan menyita minyak diesel serta peralatan lain untuk siasatan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
KPDN Pahang menyeru semua pihak mematuhi syarat permit dan lesen yang ditetapkan serta tidak menyalahgunakan kemudahan subsidi yang disediakan oleh kerajaan dan sekiranya gagal, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.
-FN





