
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM,16 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Garis Panduan Pusat Jagaan dan Taman Asuhan Warga Emas, Kanak-kanak, serta Orang Kurang Upaya (OKU) bagi menyeragamkan pengurusan pusat jagaan di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP) negeri Michelle Ng Mei Sze berkata garis panduan itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Februari lalu dan sedia dikuatkuasakan sepenuhnya.
Beliau berkata garis panduan itu memperkenalkan dua transformasi besar iaitu penubuhan Jawatankuasa Khas sebagai platform yang menghimpunkan semua agensi berkaitan di bawah satu bumbung dan Polisi Satu Pintu (One-Door Policy) di peringkat majlis perbandaran bagi mengelakkan pemohon berurusan dengan pelbagai pejabat atau agensi secara berasingan.
“Dua transformasi ini bagi membantu pengusaha pusat jagaan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran garis panduan itu di Dewan Jubli Perak, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya itu berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan Sistem Buku Pelan Setara untuk memudahkan proses dokumentasi.
“Ia adalah sebuah buku templat yang sangat ringkas. Pemohon boleh mengisinya sendiri, termasuk secara bertulis tangan, dan terus menyerahkannya kepada peringkat majlis untuk permohonan,” katanya.
Tambahnya, ?langkah ini dilihat sebagai inisiatif proaktif Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan kualiti perkhidmatan penjagaan golongan rentan sentiasa berada pada tahap terbaik, di samping mengurangkan kerenah birokrasi bagi pengusaha yang ingin beroperasi secara sah.
-FN





