
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 25 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor sedang memantau kesan krisis global yang meningkatkan harga bahan mentah terutama dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur.
Menurut EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata kenaikan harga bahan binaan dilihat sangat ketara bagi komponen berasaskan petroleum.
“Antara fakta utama yang didedahkan termasuk lonjakan harga bitumen yang merupakan produk sampingan petroleum, dilaporkan telah meningkat sekali ganda.
“Walaupun bitumen hanyalah sebahagian daripada komposisi turapan, kenaikan tersebut menyebabkan harga premix (tar jalan) melambung antara 20 peratus hingga 25 peratus,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Korban Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Tambahnya, selain premix, bahan binaan asas seperti konkrit dan besi turut menunjukkan trend kenaikan harga yang membimbangkan.
“Kesan kenaikan kos ini amat dirasai dalam pelaksanaan projek-projek besar, khususnya Projek Turapan Mega yang sedang dijalankan,” katanya.
Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah menyatakan kerajaan negeri mengakui bahawa situasi ini memberi tekanan kepada kos keseluruhan projek.
“Minggu depan dalam EXCO, kita akan bincangkan perkara ini untuk melihat bagaimana kita boleh membantu kontraktor-kontraktor terlibat akibat kenaikan harga bahan mentah ini,” katanya.
-AA-





