Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Krisis Tenaga Global: Selangor Peruntuk RM130.42 Juta Perkukuh Daya Tahan Rakyat

By 16 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 16 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor mengumumkan peruntukan berjumlah RM130.42 juta bagi melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu memfokuskan kepada keterjaminan makanan, pengurangan kos sara hidup serta usaha mengawal inflasi secara lebih efektif.

Menurutnya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang bakal memberi manfaat kepada 168,000 isi rumah di setiap DUN seluruh Selangor.

“Langkah ini penting untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah, di samping suntikan RM50 juta bagi memperkasakan Gudang Makanan Selangor (GMS) sebagai stok simpanan kecemasan,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Jelasnya, Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan turut diperkenalkan selama enam bulan bagi membantu 50,000 warga yang berisiko terjerumus ke kancah kemiskinan tegar.

Bagi sektor pengangkutan awam, RM10.4 juta disediakan untuk memberi subsidi RM30 sebulan kepada pengguna Perkhidmatan van Transit Atas Permintaan (DRT), bas dan kereta api bagi menggalakkan penggunaan mobiliti hijau.

“Pelajar di 873 sekolah juga bakal menerima bantuan sarapan percuma melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurangkan perbelanjaan harian ibu bapa mulai Ogos depan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengumumkan bantuan RM25 juta untuk pesawah, nelayan dan penternak bagi menampung kenaikan kos input pertanian serta bahan api diesel yang semakin mencabar.

Katanya, pesawah akan menerima RM500 per hektar, manakala nelayan dan penternak mendapat bantuan bulanan tunai bagi memastikan harga barang mentah di pasaran kekal stabil.

“Kerajaan Negeri juga menyalurkan RM6 juta melalui KOHIJRAH untuk membantu koperasi peruncitan serta memperluaskan ekosistem Platform Selangor (PLATS) bagi menyokong peniaga kecil tempatan terus berdaya saing,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda