
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 21 April (MalaysiaAktif) – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine di sebuah stesen minyak di Selangau, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Mukah Muhamad Rizal Alias berkata suspek, 29, ditahan menerusi Op Tapis kira-kira pukul 11 pagi.
Beliau berkata suspek sebelum itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di dalam tandas stesen minyak berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.36 gram yang disimpan dalam beg sandang milik suspek. Suspek didapati positif jenis amphetamine serta methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Buruh berkenaan katanya kini direman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-RJ-





