Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

BINGKAS 2026 Diperkasa: Fokus Warga Emas Terlantar, Bantu Penjaga

By 21 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Azhari

SHAH ALAM, 21 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor bakal memperluaskan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) kepada inisiatif baharu dikenali sebagai BINGKASAN bagi tahun 2026.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata langkah itu memberi fokus khusus kepada golongan warga emas miskin tegar yang hidup keseorangan serta terlantar, selaras usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial negeri.

“Peluasan tersebut merupakan antara penambahbaikan signifikan dalam memastikan bantuan lebih bersasar dan menyeluruh,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Johan Abd Aziz (Dusun Tua) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Menurutnya, selain BINGKASAN, kerajaan negeri turut merangka pelaksanaan program BINGKAS+ yang memberi tumpuan kepada sokongan kepada penjaga warga emas dengan antaranya mewujudkan kuota khusus bagi membantu anak-anak yang menjaga ibu bapa warga emas, khususnya dalam pembelian barangan keperluan peribadi serta penjagaan harian.

“Satu projek rintis pemerkasaan penerima BINGKAS+ turut akan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan terbabit melibatkan proses pemprofilan individu penerima, analisis keperluan serta padanan dengan bidang dan inisiatif yang sesuai mengikut latar belakang masing-masing.

“Sebagai contoh, individu di kawasan Sabak Bernam yang mempunyai minat dalam bidang pertanian akan dipadankan dengan program berkaitan bagi membuka peluang menjana pendapatan,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan berasaskan data dan lokaliti itu dijangka mampu meningkatkan keberkesanan bantuan selain mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap bantuan kebajikan.

“Inisiatif ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membuka ruang kepada penerima untuk bangkit dan berdikari,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda