
Laporan/foto: Zuriatina Tamat (Kluang)/Facebook PAWE Kluang
KLUANG, 9 April (MalaysiaAktif) – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cawangan Kluang giat melaksanakan pelbagai aktiviti untuk manfaat ahli-ahlinya malah menjadi platform memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan komuniti setempat.
Dengan keahlian lebih 300 orang daripada pelbagai kaum dan latar belakang, PAWE Cawangan Kluang menjadi antara lokasi riadah dan pusat aktiviti bermanfaat bagi warga emas berusia 40 tahun ke atas untuk mengisi masa lapang bersama rakan-rakan.

Ahli Kumpulan Kompang Paluan Emas PAWE Kluang.
Seorang ahlinya, Zuraidah Zainal, 62, berkata beliau telah menyertai PAWE Kluang sejak dua tahun lepas dan banyak menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
“Terbaharu, PAWE Kluang telah menubuhkan pasukan kompang yang dikenali sebagai Kompang Paluan Emas PAWE Kluang dan saya merupakan salah seorang ahlinya.
“Selain itu, kami juga mempunyai Kebun Komuniti, gimnasium dan pelbagai lagi aktiviti,” katanya, di sini semalam.
Sementara itu, Puan Pang Kim Keok, 66, yang baru enam bulan menjadi ahli berharap lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan pada masa akan datang termasuk kelas kraf tangan.
Seorang lagi ahli, Erakanaidu, 68, berkata beliau mula mengenali PAWE melalui rakan sebelum mendaftar sebagai ahli kira-kira dua tahun lalu.
“Sejak menjadi ahli, saya aktif menyertai pelbagai aktiviti seperti sambutan Kongsi Raya, sukan dan lain-lain. Saya juga dipilih sebagai ahli jawatankuasa untuk mempromosikan PAWE dalam kalangan masyarakat India,” katanya.
Menurutnya, PAWE merupakan platform terbaik untuk warga emas kekal aktif dari segi fizikal dan mental.
-RI





