Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pengusaha Kayu Buruk Buktikan Nilai Seni Tidak Pernah Lapuk

By 9 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad (Pasir Mas)

PASIR MAS, 9 April (MalaysiaAktif) – Siapa sangka kayu terbuang yang sering dianggap tidak berguna sebenarnya mempunyai nilai seni dan komersial yang tinggi apabila diolah dengan kreativiti serta kemahiran tangan.

Hakikat itu dibuktikan oleh Mohd Zalizi Mustafa, 57, pemilik G-Lanskap, yang menjadikan kayu terpakai sebagai sumber rezeki serta karya seni bernilai tinggi.

Kayu yang berusia lama kelihatan lebih cantik, apatah lagi apabila bahagian tertentu telah dimakan anai-anai, menjadikan coraknya unik dan bernilai tinggi untuk dijadikan kraf tangan.

Menurut Mohd Zalizi, bahan mentah yang digunakan bukan sekadar dikutip di kawasan hutan, malah turut dibeli daripada penduduk kampung.

Inisiatif tersebut secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat selain menyokong industri kraf tangan tempatan.

“Setiap kayu mempunyai ‘jiwa’ dan cerita tersendiri, tugas saya hanya memberi nafas baharu supaya ia kembali bernilai,” katanya ketika ditemui di bengkel kecilnya di Tepi Tali Air Gual Mesa, Rantau Panjang.

Beliau menghasilkan pelbagai produk berkonsepkan seni dan hiasan seperti meja klasik, kerusi, arca dekoratif, tapak bunga serta aksesori seni yang mendapat permintaan daripada pelanggan dalam dan luar daerah.

Mohd Zalizi sedang memilih dan memerhati setiap potongan kayu dengan teliti bagi memastikan hanya yang terbaik dijadikan kraf tangan berkualiti tinggi.

Kesemua produk dihasilkan secara buatan tangan sepenuhnya, menjadikan setiap hasil karya unik dan tidak serupa.

Selain nilai komersial, penggunaan kayu terpakai turut menyumbang kepada usaha kelestarian alam melalui kaedah kitar semula bahan semula jadi.

Beliau berharap lebih ramai generasi muda berani menceburi bidang seni kraf tangan sebagai warisan yang mampu menjana pendapatan.

“Seni ini bukan sekadar hasil tangan, tetapi warisan yang perlu diteruskan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda