Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pelajar Kolej Komuniti Taiping Teroka Warisan Lubuk Silah, Perkukuh Kelestarian Alam

By 20 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: SitiHajar/Kolej Komuniti Taiping

IPOH, 20 April (MalaysiaAktif) – Program Kerja Lapangan Pengajian Malaysia: Eksplorasi Komuniti dan Warisan di Lubuk Silah Adventure yang disertai Pelajar Kolej Komuniti Taiping (KK Taiping) bertujuan memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman.

Program anjuran Unit Pengajian Am, di sini semalam turut memberi pendedahan luar sesi pembelajaran di kelas selain memupuk kesedaran mengenai pemeliharaan warisan dan alam sekitar.

Timbalan Pengarah Pengurusan KK Taiping menyempurnakan simbolik penanaman pokok kopi.

Timbalan Pengarah Pengurusan KK Taiping Ts. Shaiful Hazmir Shaifuddin, berkata inisiatif itu merupakan simbolik komitmen institusi dalam mengukuhkan hubungan antara dunia pendidikan dengan komuniti setempat.

“Usaha ini bukan sekadar pembelajaran akademik, malah bertujuan memupuk kesedaran pelajar untuk memelihara identiti budaya negara agar tidak ditelan zaman,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan gimik penanaman pokok kopi di kawasan berkenaan sebagai lambang kelestarian alam sekitar.

Dalam pada itu, peserta program turut berpeluang mempelajari seni tradisional anyaman atap menggunakan daun bertam yang dikendalikan Pengurus Lubuk Silah Adventure Mohd Zawawi Bahari.

Para pelajar mempelajari seni anyaman atap menggunakan daun bertam yang dikendalikan oleh Pengurus Lubuk Silah Adventure.

Aktiviti tersebut bertujuan memberi kefahaman mengenai kebijaksanaan masyarakat terdahulu dalam memanfaatkan sumber alam secara lestari.

Sementara itu, Pensyarah Pengiring Fathilah Begum Mohamed Maidin, berkata pendekatan pembelajaran seperti itu memberi impak lebih mendalam kepada pelajar dalam memahami realiti kehidupan masyarakat dan tanggungjawab sosial.

Selain aktiviti warisan, program itu turut diisi dengan aktiviti gotong-royong dan rekreasi bagi memantapkan kemahiran insaniah serta ciri kepimpinan dalam kalangan pelajar.

-RI

Tinggalkan komen anda