
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Hazlina Tajuddin
SHAH ALAM, 20 April (MalaysiaAktif) – Selangor merekodkan hasil negeri sebanyak RM3.021 bilion pada 2025, meningkat RM154 juta berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian itu melepasi sasaran asal dan momentum berkenaan dijangka berterusan pada tahun ini dengan unjuran hasil sebanyak RM2.8 bilion.

Sultan Sharafuddin berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum berangkat ke Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor ke-15 tahun 2026.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah peningkatan hasil negeri didorong pelbagai inisiatif termasuk pengenalan Caj Abstraksi Air yang menjana RM48 juta, penambahbaikan sistem pentadbiran di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) yang menyumbang RM32 juta, selain penyelesaian tunggakan notis 5A kawasan Rehat dan Rawat berjumlah RM50 juta.
Pada masa sama, pelaksanaan rangkaian gentian optik menerusi Masterplan Selangor Dark Fiber Network sepanjang 889 kilometer dijangka menjana hasil RM196 juta dalam tempoh lima tahun selepas direalisasikan.
“Kesemua langkah ini akan memberikan sumbangan yang signifikan ke arah meningkatkan rizab negeri dari RM2.135 bilion pada tahun 2018 kepada RM4.736 bilion pada akhir tahun 2025,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Selangor turut mencatat pelaburan berjumlah RM83.9 bilion pada 2025, melebihi sasaran RM65 bilion sekali gus mewujudkan 61,311 peluang pekerjaan iaitu antara tertinggi dalam negara.

Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor ke-15 tahun 2026.
“Beta gembira melihat bahawa lebih separuh daripada jumlah pelaburan di Selangor pada tahun lalu datang daripada pelabur tempatan, iaitu bernilai RM48.9 bilion bersamaan dengan 58.3 peratus.
“Kerajaan Beta menjangkakan masih ada potensi untuk memperluaskan sektor perkilangan dan pembuatan yang menyumbang 21.6 peratus menerusi pelaburan baharu terutamanya dalam bidang berteknologi tinggi,” titah Baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan memperkukuh dasar ‘Ease of Doing Business’ termasuk inisiatif Speed Selangor bagi mengoptimumkan urusan pelabur serta mempercepat pembangunan industri sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin memaklumkan Belanjawan Selangor 2026 bertemakan “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera” dengan peruntukan sebanyak RM3.23 bilion.
Belanjawan itu memberi tumpuan kepada usaha memampankan hasil negeri, memperluas pendidikan secara holistik, memperkukuh ekosistem perniagaan, merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, serta memperkasa sistem kesihatan dan perlindungan sosial rakyat, di samping menggerakkan reformasi tadbir urus sebagai teras pelaksanaan dasar kerajaan negeri.
Terdahulu baginda berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama di perkarangan bangunan Sultan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
-RI





