
Laporan/foto: Shah Hood (Johor)/Facebook Zahari Sarip
JOHOR BAHRU, 10 April (MalaysiaAktif) – Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah terus merasai impak pembangunan pesat di sekitar Johor Bahru apabila komuniti setempat khususnya golongan belia semakin mendapat peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi.

Zahari beramah mesra bersama anak-anak penduduk Orang Asli di kampung berkenaan
Kampung yang terletak berhampiran pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar itu mempunyai 269 keluarga dengan jumlah penduduk seramai 998 orang daripada suku kaum Seletar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata perkembangan itu sekali gus memberi kesan positif terhadap peningkatan taraf hidup masyarakat setempat.
Menurut beliau, sebahagian besar anak muda di kampung berkenaan kini bekerja di sekitar Johor Bahru termasuk dalam sektor logistik dan pelabuhan yang menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pendapatan lebih baik.

Sempat bertanya khabar salah seorang penduduk sebagai tanda keprihatinan
“Sebahagiannya bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sebagai pengendali kren yang memerlukan kemahiran tinggi. Gaji yang diterima juga setimpal dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kelmarin, Zahari menghadiri sesi pertemuan santai bersama komuniti setempat yang turut disertai Tok Batin Noore Kasi serta wakil agensi kerajaan berkaitan.
Menurut beliau, sesi berkenaan menjadi platform penting untuk mendengar pandangan masyarakat setempat selain mengeratkan hubungan antara pemimpin dan komuniti Orang Asli.
-AA-





