Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

PERHILITAN Rampas Bahagian Hidupan Liar Bernilai RM36.8 Juta

By 9 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia

JOHOR BAHRU, 8 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merampas pelbagai bahagian hidupan liar dengan nilai sitaan dianggarkan RM36.8 juta dalam satu serbuan di sebuah premis kediaman di Taman Johor Jaya, di sini, 4 April lalu.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Vietnam yang merupakan penghuni premis berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran sah daripada PERHILITAN bagi menyimpan bahagian hidupan liar tersebut.

“Antara yang ditemukan ialah 602 biji disyaki hempedu ular sawa, 420 biji disyaki hempedu beruang, 107 ketulan mampat disyaki bahagian harimau, 135 ketulan mampat disyaki bahagian primat serta 191 batang disyaki bahagian ular sawa.

“Semua bahagian hidupan liar tersebut telah disita dan dibawa ke pejabat PERHILITAN Negeri Johor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 68 kerana memiliki bahagian hidupan liar tanpa kebenaran sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya melalui talian Hotline PERHILITAN di 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) menerusi laman sesawang www.wildlife.gov.my.

-FN

Tinggalkan komen anda