
Laporan/foto: Meriah Abdul Hamid (Samarahan)
SAMARAHAN, 9 April (MalaysiaAktif) – Projek pembinaan blok baharu Klinik Kesihatan Semera di Daerah Asajaya kini telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi bagi memperkukuh sistem kesihatan primer di Bahagian Samarahan.
Penyediaan fasiliti tambahan tersebut melibatkan ruang bilik rawatan yang lebih luas serta sistem farmasi yang dinaik taraf bagi menampung peningkatan jumlah pesakit harian.
Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib berkata blok baharu ini merupakan komponen penting dalam perancangan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi merapatkan jurang kemudahan luar bandar.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pengoperasian bangunan tambahan ini membolehkan perkhidmatan kesihatan diberikan dalam persekitaran yang lebih moden serta sistematik berbanding fasiliti lama.
“Pembinaan blok baharu ini memberikan keselesaan kepada penduduk setempat sekali gus memastikan sistem penyampaian kesihatan dilaksanakan dengan lebih efisien,” katanya kepada MalaysiaAktif semalam.
Status terkini klinik tersebut turut menyaksikan penambahan kawasan menunggu yang lebih kondusif bagi meningkatkan tahap keselesaan pesakit serta waris yang hadir mendapatkan rawatan.
Hanifah berkata peningkatan infrastruktur ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan di klinik-klinik berhampiran selain mempercepatkan tempoh menunggu untuk rawatan pesakit luar.
Beliau turut menegaskan kemudahan yang telah siap dibina ini perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh masyarakat setempat bagi memastikan manfaatnya bertahan lama.
-RJ-





