
Laporan/foto: Aini Aziz/Albaihaki Awang
KUALA TERENGGANU, 30 April (MalaysiaAktif) – Politeknik Kuala Terengganu (PKT) berada di landasan kukuh dalam pemerkasaan agenda pendigitalan pendidikan tinggi apabila menerima Projek Perolehan Peralatan Sistem Rangkaian Kampus (WiFi) Fasa 2 – Perkabelan Sistem Rangkaian Kampus, semalam.
Pengarah PKT Ts. Nadzri Che Kamis berkata pelaksanaan projek itu merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh infrastruktur teknonologi komunikasi dan maklumat (ICT) kampus ke arah menyokong ekosistem pembelajaran digital yang lebih efisien dan inklusif.
“Projek bernilai RM765,000 yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan 5 ini memberi fokus kepada pemantapan infrastruktur ICT di institusi pendidikan tinggi.
“Skop kerja merangkumi pengkabelan dan pendawaian di empat bangunan sewaan kampus, pemasangan 75 access point serta 100 network point baharu, selain penggantian sebanyak 689 titik kabel LAN sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan projek berkenaan daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), di sini semalam.
Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi impak besar kepada warga kampus melalui peningkatan kualiti capaian internet seterusnya memperkasa penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kecekapan sistem pengurusan institusi.
-AA-





