
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 14 April (MalaysiaAktif) – Inovasi produk ikan bulu dalam bentuk sedia dimakan kini menjadi langkah strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada musim tangkapan di Sungai Batang Lupar.
Pengusaha produk ikan bulu sedia dimakan, Nur ’Izzati Zalaluddin, 38, berkata pendekatan memproses ikan bulu tersebut membolehkan produk dipasarkan sepanjang tahun tanpa terikat kepada faktor musim.
Beliau menjelaskan inovasi itu bukan sahaja meningkatkan nilai tambah hasil perikanan tempatan malah membuka ruang lebih luas untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Ikan bulu kini tidak lagi terikat kepada musim kerana teknologi pemprosesan membolehkan ia dipasarkan secara konsisten dalam bentuk sedia dimakan.
“Produk unik tempatan seperti ini perlu dikomersialkan secara meluas selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya ketika ditemui pada Program Forum Ekonomi DUN Lingga di Dewan Suarah Sri Aman, di sini kelmarin.
Produk inovasi berkenaan turut mendapat perhatian Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa majlis penangguhan forum tersebut.
Nur ’Izzati menyifatkan sokongan kepimpinan tertinggi negeri itu sebagai suntikan motivasi kepada usahawan kecil untuk terus meningkatkan kualiti produk bagi persaingan global.
Sementara itu, pelanggan, Jukipli Mahmud, 44, berkata inovasi sedemikian wajar diperluaskan kerana berpotensi menjadi identiti makanan unik yang mampu menarik minat pelancong ke daerah ini.
Gabungan inovasi dan sokongan kerajaan dijangka mampu mengangkat ikan bulu sedia dimakan sebagai produk ikonik baharu Sarawak ke persada global.
-RJ-





