
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 14 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak memperuntukkan hampir RM7 bilion bagi memperkukuh sistem bekalan air di seluruh negeri sebagai usaha memastikan liputan utiliti yang menyeluruh menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata peruntukan besar tersebut mencerminkan komitmen kerajaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Julaihi Narawi perinci peruntukan hampir RM7 bilion bagi perkukuh sistem bekalan air seluruh negeri menjelang 2030.
Beliau menjelaskan tumpuan bagi Bahagian Sri Aman kini melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Engkilili yang mempunyai kapasiti 75 juta liter sehari (MLD).
“LRA Engkilili bukan sahaja menambah bekalan air bersih malah mampu dinaik taraf sehingga 150 MLD pada masa hadapan mengikut keperluan penduduk,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Simanggang di Dewan Suarah Sri Aman, di sini semalam.
Menurut beliau projek tersebut akan menyokong kapasiti sedia ada di LRA Bayai yang membekalkan 53 MLD selain sokongan loji kecil di Lubok Antu, Pantu, Lingga serta Seduku.
Julaihi memberitahu pembangunan Sistem Grid Air Regional Sri Aman sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi menghubungkan LRA Engkilili dan LRA Bayai.
Sistem grid berkenaan melibatkan jajaran paip utama ke kawasan Pantu dan Lingga sebelum disambungkan ke Bahagian Betong bagi membentuk rangkaian bekalan yang lebih efisien.
Beliau memaklumkan sebanyak RM1.1 bilion daripada peruntukan keseluruhan tersebut dikhaskan untuk program penggantian paip lama dan uzur sepanjang 2,740 kilometer di seluruh Sarawak.
Langkah berkenaan diambil sebagai usaha kerajaan negeri bagi menangani isu Air Tidak Terhasil (NRW) secara lebih berkesan.
“Apabila kesemua projek ini siap dalam tempoh tiga tahun lagi, bekalan air akan menjadi lebih stabil dan mampu disalurkan ke setiap rumah termasuk kawasan luar bandar,” katanya.
Julaihi memberi jaminan penduduk di kawasan pedalaman tanpa akses jalan raya akan tetap menikmati kemudahan tersebut melalui Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
-RJ-





