
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah (Machang)
MACHANG, 22 April (MalaysiaAktif) – Program KANVAS: Apresiasi Seni Visual Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 menjadi platform penting dalam menonjol dan memperkasa bakat seni visual pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara.
Program tersebut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 – 2035 ke arah melahirkan Generasi MADANI yang beridentiti, kreatif, berdaya saing serta seimbang dari aspek intelek dan sahsiah.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata program ini bukan sekadar pertandingan, malahan medan apresiasi yang mengiktiraf idea, ekspresi serta usaha pelajar dalam bidang seni visual.
“Program ini membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi, membina keyakinan diri dan memupuk pemikiran inovatif serta kreatif,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup di Dewan Profesional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau menambah penganjuran KANVAS 2026 membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan seni visual serta melahirkan pelapis seni yang mampu membawa identiti tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan sepanjang program berlangsung dari 20 hingga 22 April, termasuk Pameran 27th International High School Arts Festival (IFAC-Japan), Pertandingan Reka Bentuk Busana Sekolah Menengah dan Pertandingan Seni Cetakan Sekolah Rendah.
Turut hadir Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad.
-AA-





