
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Penampang)
PENAMPANG, 22 April (MalaysiaAktif) – Muzium dan Perpustakaan Koisaan menjadi simbol usaha berterusan dalam memelihara serta memartabatkan warisan sosiobudaya etnik Kadazandusun untuk generasi masa hadapan.
Huguan Siou (pemimpin agung masyarakat Kadazandusun dan Murut) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata penubuhan fasiliti di Pusat Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) itu merupakan realisasi matlamat strategik bagi memperkasa identiti bangsa.
Beliau menjelaskan pemodenan dan jurang generasi kini sedikit demi sedikit menghakis identiti masyarakat sekiranya tiada usaha serius untuk mempromosikan adat resam serta tradisi nenek moyang.

Pameran kepelbagaian reka bentuk topi tradisional etnik Borneo antara koleksi menarik di Muzium dan Perpustakaan Koisaan KDCA Penampang.
“Matlamat kita adalah untuk memelihara warisan sosiobudaya dan cerita rakyat supaya kita dapat menghargai segala pencapaian yang diwariskan oleh generasi terdahulu,” katanya kepada Malaysia Aktif semalam.
Timbalan Presiden KDCA John Anthony berkata penubuhan muzium dan perpustakaan tersebut merupakan sebahagian daripada Visi KDCA 2034 bagi memastikan kelestarian pembelajaran budaya.
Beliau berkata khazanah berkenaan berteraskan sistem pengetahuan unik termasuk amalan perubatan herba, sejarah lisan, institusi Huguan Siou serta bimbingan spiritual Bobolian.
Kepelbagaian pakaian tradisional turut menjadi antara pengisian utama bagi memastikan sumber identiti tersebut dapat dilihat secara fizikal oleh para pengunjung dan penyelidik.

Koleksi pakaian tradisional pelbagai subetnik Kadazandusun yang dipamerkan sempena perasmian Muzium dan Perpustakaan Koisaan di KDCA Penampang semalam.
John menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah penting bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara dan menjadi kebanggaan kepada komuniti Kadazandusun di seluruh negeri.
-RJ-





