
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)
DALAT, 19 April (MalaysiaAktif) – Program Kesedaran Keselamatan Komuniti yang diadakan semalam menjadi platform penting meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap pelbagai aspek keselamatan dalam kehidupan seharian.
Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak Mohamad Sadiqi Hashim berkata program itu bertujuan memperkukuh kesedaran komuniti terhadap dimensi keselamatan fizikal seperti jenayah dan bencana serta ancaman siber seperti penipuan dalam talian.
“Dalam konteks semasa, landskap keselamatan menjadi semakin kompleks dan dinamik. Ancaman yang dihadapi masyarakat hari ini bukan sahaja tertumpu kepada jenayah konvensional, tetapi turut merangkumi jenayah siber, penipuan dalam talian, isu kepenggunaan serta cabaran dalam penyampaian perkhidmatan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penangguhan Program Kesedaran Keselamatan Komuniti Daerah Dalat 2026 di Dewan Utama, Kompleks Kebajikan Dalat, di sini.
Beliau menegaskan dalam situasi terkini, keselamatan bukan lagi tanggungjawab eksklusif agensi penguatkuasaan sebaliknya memerlukan penglibatan aktif kepimpinan akar umbi serta penduduk setempat.
Menurut Mohamad Sadiqi pendekatan tersebut selari dengan konsep keselamatan insan yang menekankan aspek perlindungan serta pemerkasaan masyarakat agar lebih berdaya tahan.
“Kerjasama strategik antara agensi keselamatan dan komuniti mampu menjamin kehidupan yang harmoni serta bebas daripada ancaman,” katanya.
-RJ-





