
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 17 April (MalaysiaAktif) – Seramai 51 usahawan belia di bahagian ini menyertai Program Pemasaran Digital (PROPUB) Modul 3 bagi memperkasa kemahiran keusahawanan dan ekonomi komuniti setempat.
Program latihan selama dua hari itu bertujuan menyediakan bimbingan praktikal kepada usahawan baharu untuk memastikan mereka mampu berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata pembangunan usahawan muda sangat penting sebagai pemacu ekonomi tempatan serta pencipta peluang pekerjaan baharu.
Beliau menjelaskan inisiatif tersebut memberikan pendedahan serta latihan teknikal yang diperlukan oleh peserta bagi menguruskan perniagaan secara lebih sistematik dan berkesan.
“Program seperti PROPUB menyediakan latihan praktikal bagi memastikan usahawan baharu mampu bertahan dan berkembang dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya kepada MalaysiaAktif hari ini.
Royston memberitahu ilmu yang diperoleh melalui modul tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan bagi menjamin kejayaan perniagaan melalui usaha serta disiplin yang berterusan.
Kaji selidik awal mendapati kebanyakan peserta memerlukan bimbingan dalam kemahiran asas memulakan perniagaan selain pengurusan organisasi yang lebih terancang.
PROPUB Modul 3 memberi tumpuan kepada pembentukan minda usahawan, penyediaan pelan perniagaan serta tatacara pendaftaran perniagaan secara sah mengikut undang-undang.
Peserta turut didedahkan kepada pelbagai saluran pembiayaan termasuk skim bantuan kewangan dan geran daripada agensi kerajaan serta institusi kewangan berkaitan.
Program tersebut merupakan anjuran bersama UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, Politeknik Mukah, Biro Pendidikan Mukah, Saberkas Cawangan Tellian dan Skuad Antidadah Bahagian Mukah.
Penganjuran program itu diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan mikro berdaya saing selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
-RJ-





