Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Projek Pulihara Tebingan Batang Mukah RM40 Juta Mula 6 April

By 2 April 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 2 April (MalaysiaAktif) – Projek pemuliharaan tebingan Batang Mukah bernilai RM40 juta bagi menangani isu hakisan serta meningkatkan keselamatan komuniti setempat akan bermula Isnin depan (6 April).

Projek Cadangan Pemuliharaan Tebingan Batang Mukah antara Sungai Penakub dan Sungai Tellian itu dijangka siap sepenuhnya pada 5 April 2028.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian Royston Valentine berkata pelaksanaan projek berkenaan penting bagi menangani hakisan tebing yang semakin serius serta menjamin keselamatan penduduk.

“Projek ini bukan sahaja melibatkan pengukuhan struktur tebing sungai, tetapi juga memberi jaminan kepada komuniti setempat bahawa keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan,” katanya selepas mesyuarat serah tapak projek tersebut di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, di Kuching, hari ini.

Royston berkata projek itu membantu mengekalkan perkampungan tradisi berhampiran tebing sungai seperti Kampung Datuk, Kampung Penakub Hilir dan Kampung Permai yang terdedah kepada risiko hakisan.

Beliau dalam pada itu menyeru penduduk dan orang awam agar mematuhi arahan keselamatan sepanjang tempoh pembinaan dijalankan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda