
Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sibu)/Philip Johnny (Miri)
KUCHING, 24 April (MalaysiaAktif) – Budaya membaca perlu dipupuk secara berterusan bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat.
Berucap pada Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Dewan Serbaguna Kampung Bakam di sini, semalam, beliau turut mengingkatkan asyarakat perlu bijak memanfaatkan literasi digital untuk mengakses bahan bacaan.
“Namun pada masa sama perlu berwaspada terhadap kesahihan maklumat yang diterima,” katanya ketika merasmikan program tersebut yang menampilkan pelbagai pengisian komprehensif merangkumi aktiviti literasi dan pembangunan komuniti.
Program bertemakan Membaca Menggembirakan, Membaca Membina Bangsa itu turut disokong oleh Pustaka Negeri Sarawak melalui pelbagai aktiviti seperti bengkel kreatif, pertandingan pengucapan awam, sesi bacaan bersama pemimpin serta pameran pendidikan.
Sementara itu di Sibu, suasana ruang legar Wisma Sanyan bertukar hening apabila ratusan peserta menghentikan seketika aktiviti harian untuk membaca secara serentak selama 10 minit tepat jam 11 pagi.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi berkata program tersebut berperanan penting dalam membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian masyarakat.
“Program Jom Baca ini amat bertepatan dalam usaha membudayakan amalan membaca, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan keluarga. Amalan membaca turut menjadi asas pembentukan pemikiran kritikal dan kreatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Program itu melibatkan penyertaan pelajar sekolah, kakitangan awam, sektor swasta serta pengunjung perpustakaan dengan matlamat membina ekosistem ilmu dan meningkatkan literasi komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk pameran buku, pameran agensi kerajaan dan swasta, pameran robotik oleh SMK Sedaya Kanowit, sesi ulasan buku serta pendaftaran keahlian perpustakaan secara percuma.
-FN





