Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Polis Julau Perkasa Kesedaran Komuniti Tangani Jenayah Komersil

By 24 April 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Boniface Watt/Ignatius Golen (Pakan)

PAKAN, 24 April (MalaysiaAktif) – Usaha memperkukuh kesedaran komuniti terhadap ancaman jenayah komersil terus dipergiat menerusi program Polis dan Murid: Bersama Cegah Jenayah di Sekolah Kebangsaan Ulu Pedanum, semalam.

Program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau itu memberi pendedahan awal mengenai trend terkini penipuan dalam talian agar masyarakat lebih waspada terhadap taktik penipuan moden.

Wakil IPD Julau, Koperal Megat Arzi Megat menjelaskan pelbagai modus operandi sindiket termasuk pelaburan tidak wujud, keldai akaun, pinjaman palsu serta panggilan menyamar pihak berkuasa.

“Saya ingin berpesan kepada komuniti agar tidak mudah panik atau mengikut arahan pihak tidak dikenali serta segera membuat laporan polis sekiranya menerima mesej mencurigakan,” katanya.

Menurut Megat Arzi, penglibatan murid dan ibu bapa dalam program ini penting bagi membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap ancaman scam yang semakin berleluasa.

Selain ceramah pencegahan jenayah, program turut diisi dengan taklimat kesihatan, aktiviti sukaneka serta demonstrasi keselamatan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.

-RJ-

Tinggalkan komen anda