Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Raja Perlis Seru Umat Islam Amalkan Zikir Sahih Berteraskan Sunnah

By 28 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 28 April (MalaysiaAktif) – Amalan zikir yang berteraskan sunnah Rasulullah SAW terus menjadi penekanan utama dalam usaha memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan masyarakat Islam di negeri Perlis.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa setiap umat Islam perlu mengambil berat tentang kepentingan memilih zikir yang sahih dan bersandarkan kepada ajaran Rasulullah SAW.

Antara tetamu yang hadir di majlis tersebut.

Baginda bertitah sebaik-baik zikir dan kaifiatnya adalah seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW, dan amatlah merugikan sekiranya umat Islam lebih mengutamakan zikir yang tidak mempunyai sandaran sahih.

“Ia sekali gus mencerminkan komitmen masyarakat dalam menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, khususnya melalui amalan zikir yang tepat dan berlandaskan dalil sahih,” titah Baginda pada Majlis Penutup Program Perkampungan Sunnah Siri ke-11 yang berlangsung di Masjid Alwi, di sini semalam.

Program Perkampungan Sunnah Siri ke-11 selama tiga hari itu dianjurkan Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertemakan “Zikrullah: Menghidupkan Sunnah, Mendapat Fadhilah”.

Gerai jualan buku buku agama mendapat sambutan orang ramai di program tersebut.

Turut berangkat hadir Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akshah Khalil.

Titah Baginda, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menggalakkan amalan zikir berlandaskan sunnah, termasuk penerbitan risalah seperti Himpunan Zikir Harian dan Zikir Selepas Solat melalui Wakaf MAIPs.

Selain itu, Kempen Perlis Berzikir yang dilancarkan sejak tahun 2021 turut memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan kefahaman mengenai kepentingan zikir yang sahih.

Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 4,000 orang peserta sepanjang tiga hari penganjurannya, sekali gus membuktikan komitmen masyarakat dalam menghayati ajaran sunnah secara menyeluruh.

-RI

Tinggalkan komen anda