
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 28 April (MalaysiaAktif) – Industri batik tempatan terus berinovasi apabila sebuah perusahaan kecil di Kampung Chegar, di sini tampil memperkenalkan teknik baharu menghasilkan batik menggunakan tanah liat sebagai bahan utama.
Bertapak di Lot 870, Kampung Batu 20, di sini perniagaan Ronaloka Global yang baru memulakan operasi pada 10 Februari lepas kini mula mencuri perhatian dengan pendekatan unik mereka dalam penghasilan batik.

Batik Tanah Liat keluaran Ronaloka Global.
Dengan semangat keusahawanan yang tinggi, tiga wanita muda iaitu Aini Nurwana Affrini, 36, Jariah Abdullah, 37, dan Nor Ramziyah Jamaludin, 31, berusaha mengangkat seni warisan batik ke tahap lebih moden dan mesra alam.
Menurut Aini Nurwana, penggunaan tanah liat sebagai pengganti lilin dalam proses membatik merupakan inovasi terkini yang bukan sahaja menjimatkan masa, malah lebih selamat kerana menggunakan bahan semula jadi.
“Teknik batik tanah liat ini lebih mudah dihasilkan, tidak melibatkan bahan berbahaya dan kos bahan mentah juga lebih rendah serta mudah diperoleh,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Usaha mereka turut mendapat sokongan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Program Keusahawanan Wanita (WomenBiz Entrepreneurship), dengan bantuan modal permulaan sebanyak RM200,000.

Antara corak yang dihasilkan oleh Ronaloka yang menjadi pilihan pelanggan.
Aini Nurwana berkata walaupun masih baharu dalam industri, namun Ronaloka Global mempunyai visi besar untuk berkembang lebih jauh.
Mereka juga turut berharap agar jenama tersebut mampu berdiri sebaris dengan jenama batik tempatan yang terkenal, seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.
“Kami ingin melihat Ronaloka menjadi antara jenama batik tempatan yang dikenali ramai, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.
“Kehadiran inovasi seperti batik tanah liat ini dilihat mampu memberi nafas baharu kepada industri kraf tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan wanita untuk terus maju dalam bidang kreatif dan berdaya saing,” katanya.
-RI





