Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Raja Perlis Titah Perkasa Sektor Pertanian Menerusi Agrofest 2026

By 26 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 26 April (MalaysiaAktif) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan kepentingan memperkasakan sektor pertanian sebagai bidang berpotensi tinggi dan berdaya maju.

Baginda bertitah, penganjuran program seperti Perlis Agrofest 2026 mampu menjadi platform penting dalam menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan pertanian, penternakan, teknologi agro dan keusahawanan.

“Usaha ini sekali gus memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan keselamatan makanan dan kelestarian ekonomi negara.

“Kerajaan Negeri Perlis setiap tahun menyediakan peruntukan khas bagi memastikan program seumpama ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus memberi pengiktirafan kepada golongan yang banyak menyumbang kepada sektor agro-makanan,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Perlis Agrofest 2026 di Sungai Batu Pahat, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, baginda turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan, di samping menyeru semua pihak agar sentiasa terbuka menerima perubahan serta meningkatkan kemahiran.

Baginda turut berharap agar kerajaan negeri dan Persekutuan terus menyediakan pelbagai inisiatif kepada pemain industri termasuk insentif bahan api susulan kenaikan harga akibat krisis di Asia Barat.

Selain itu, baginda melahirkan rasa bangga terhadap perkembangan industri mangga Harumanis Perlis yang kini melibatkan lebih 2,700 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,800 hektar.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pengusaha diseru agar terus mempergiat usaha dalam aspek penanaman, penyelidikan, pemprosesan serta pemasaran bagi memastikan jenama Harumanis Perlis terus diperkasa dan keasliannya terpelihara.

-AA-

Tinggalkan komen anda