
Laporan/foto: Mahrani Mohamad/Rizal Abdul Rahman (Kulim)
KULIM, 16 April (MalaysiaAktif) – Taman Burung Kulim yang berkonsepkan petting zoo (zoo haiwan jinak) menjadi tarikan pelancongan di daerah ini apabila menawarkan pengalaman interaktif bersama lebih 50 spesies haiwan kepada pengunjung.

Pengunjung kanak-kanak memberi keldai makanan yang dijual di Taman Burung Kulim.
Pengusaha taman, Zuhaili Ismail berkata keunikan utama taman berkenaan terletak pada kepelbagaian spesies haiwan jinak dan burung dari seluruh dunia yang dipelihara dalam suasana mesra pengunjung.
“Pengunjung berpeluang melihat haiwan eksotik seperti ular, kapibara, landak, kucing bengal dan iguana serta pelbagai spesies burung tempatan dan luar negara termasuk yang dikategorikan sebagai terancam dengan lebih dekat,” katanya kepada Malaysia Aktif baru-baru ini.
Menurut beliau, taman tersebut bukan sahaja menjadi pilihan penduduk setempat malah turut menerima kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara, sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan daerah Kulim.

Antara haiwan yang menjadi tarikan pengunjung di sini terutama kanak-kanak.
Antara tarikan utama ialah peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan haiwan melalui aktiviti seperti memberi makanan, bermain bersama burung serta haiwan lain, yang amat digemari kanak-kanak dan keluarga.
Kadar bayaran masuk yang berpatutan iaitu RM12 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak menjadikan lokasi ini lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.
-RI





