
Laporan/foto: SitiHajar/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 15 April (MalaysiaAktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah agar pembangunan modal insan dan jati diri golongan belia diperteguh secara syumul bagi memastikan mereka mampu melakar pencapaian luar biasa demi kemakmuran negeri.
Baginda bertitah belia merupakan aset paling berharga dan pewaris kepimpinan masa hadapan yang perlu dibentuk melalui penerapan asas agama, adab, serta pendidikan menyeluruh.

Suasana Istiadat Pembukaan Rasmi Dewan Negeri Perak ke-15.
“Pembangunan modal insan yang mantap amat kritikal bagi melahirkan generasi yang mampu melakar pencapaian luar biasa demi kemakmuran negeri,” titah baginda.
Baginda menzahirkan titah itu sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.
Baginda turut memberikan perhatian kepada program pembangunan belia seperti usaha siswa Yayasan Perak dan inisiatif ‘Satu Parlimen – Satu Kelab Rakan Muda’ yang terbukti berjaya membentuk jati diri yang kukuh.
“Inisiatif serta program berpaksikan pemerkasaan belia hendaklah diperbanyakkan dan dipergiat untuk membentuk jati diri yang kukuh bagi melahirkan generasi pelapis yang berwibawa,” titah baginda.
Sebagai pengiktirafan kepada golongan itu, Sultan Nazrin menitahkan agar wakil belia kini dilantik sebagai ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta ahli Jawatankuasa Baitulmal di setiap daerah.
Dalam pada itu, Baginda memaklumkan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) komited memperkasakan golongan itu melalui 224 program dan kursus pembangunan yang dirancang sepanjang tahun ini.
Program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 15,000 belia di seluruh negeri dalam usaha meningkatkan nilai tambah kerjaya, kemahiran serta kebolehpasaran mereka.
Sultan Nazin bertitah bagi memastikan kelestarian warisan budaya pula, program tahunan People Of Remarkable Talent (PORT) melalui Kem Belia Kreatif terus diperkukuh sebagai platform pendedahan bakat yang telah melibatkan 600 belia.
Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak muda Perak yang mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa.
Seramai 92 atlet negeri terpilih mewakili negara dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025, manakala 17 atlet lagi beraksi pada ASEAN Para Games Thailand 2025.
Kejayaan meraih pingat emas oleh atlet tunas Sukan Malaysia (SUKMA) serta atlet para disifatkan baginda sebagai bukti nyata semangat juang dan ketabahan yang tinggi.
“Pencapaian ini mencerminkan semangat juang, ketabahan dan iltizam yang tinggi para atlet dalam semangat mahu mengharumkan nama negeri dan negara,” titah baginda.
-RI





