
Laporan/foto: Nurul Habibah/Muhammad Irsyad (Manjung)
MANJUNG, 16 April (MalaysiaAktif) – Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan kini masih dipandang ringan sesetengah pihak, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Muhammad Faizal Shah Safian Suri.
Beliau berkata sebarang bentuk kecuaian boleh mengundang risiko besar kepada pekerja dan organisasi berdasarkan beberapa siri kemalangan industri sebelum ini.
“Keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja tanggungjawab organisasi, malah merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat.
“Kita tidak boleh lagi hanya bertindak selepas berlakunya kemalangan, sebaliknya perlu mengutamakan langkah pencegahan,” katanya ketika merasmikan Program Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Dewan Merdeka MPM, di sini semalam.
Seramai 800 peserta menyertai program anjuran MPM itu yang bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan aspek keselamatan di tempat kerja.
Program berkenaan menyaksikan pencapaian MPM sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang merekodkan 1.5 juta jam bekerja tanpa kemalangan, sekali gus membuktikan komitmen memastikan persekitaran kerja yang kondusif.
Turut serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Akademi Binaan Malaysia (ABM), PETRONAS Gas Berhad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
-RI





