Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kelupis Warisan Brunei Kekal Jadi Juadah Tradisional Bongawan

By 16 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sukarni Asun (Beaufort)

BEAUFORT, 16 April (MalaysiaAktif) – Kelupis yang dihasilkan mengikut resipi turun temurun masyarakat Brunei terus menjadi juadah tradisional utama penduduk di daerah ini.

Haziah Yacob, 46, berkata kemahiran menghasilkan kelupis yang terkenal dengan rasa berlemak adalah simbol warisan budaya yang perlu dipertahankan agar tidak dilupakan generasi muda.

“Kemahiran ini bukan sahaja penting untuk memelihara warisan, malah menjadi antara cabang ekonomi bagi komuniti yang menerima tempahan untuk pelbagai majlis,” katanya ketika ditemui di Kampung Biau Bongawan, di sini kelmarin.

Isah Sabli, 76, menjelaskan proses penghasilan kelupis memerlukan ketelitian tinggi terutama dalam pemilihan bahan utama seperti beras pulut, santan dan daun silat.

“Beras pulut perlu dibasuh dan direndam sebelum dimasak bersama santan serta garam bagi menghasilkan aroma yang harum,” katanya.

Isah (kiri) bersama anaknya Haziah (tengah) dan menantunya menunjukkan hasil kelupis yang siap dibungkus menggunakan daun nyirik, di Kampung Biau Bongawan,  kelmarin.

Isah berkata teknik pembungkusan menggunakan daun nyirik atau daun silat yang dilayur adalah langkah penting bagi menentukan ketahanan makanan tersebut.

Pulut yang telah dimasak akan dibentuk memanjang dan diikat kemas sebelum melalui proses pengukusan selama beberapa jam.

“Proses pengukusan yang lama memastikan kelupis benar-benar masak serta mempunyai tekstur kenyal dan enak untuk dimakan,” jelasnya.

Masyarakat di Pantai Barat Sabah masih mengekalkan tradisi menjadikan kelupis sebagai hidangan utama dalam majlis keramaian dan perkahwinan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda