
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Johor
ISKANDAR PUTERI, 16 April (MalaysiaAktif) – Seorang warga emas ditahan kerana memiliki 16 ekor burung murai batu di salah sebuah premis kediaman di Serene Park, di sini semalam.

Sebanyak 16 unit sangkar burung pelbagai jenis bersama 16 ekor burung murai batu telah dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) SAC Rosli Md Yusof berkata lelaki tempatan berusia 60 tahun itu ditahan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Selatan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menerusi Op Bersepadu Khazanah.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen yang sah bagi tujuan pemilikan, penyimpanan atau pemeliharaan hidupan liar berkenaan.
“Sebanyak 16 unit sangkar burung pelbagai jenis, sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan turut dirampas dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM250,000,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
-AA-





