
Laporan/foto: Shah Hood (Johor)/Facebook Teo Nie Ching
KULAI, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 235 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Parlimen Kulai menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Teo Nie Ching, semalam.
Teo dalam satu hantaran di Facebook berkata keseluruhan RM174,593 disumbangkan kepada pelajar cemerlang tersebut dalam bentuk wang tunai, tablet dan komputer riba.
“Setiap kejayaan bermula dengan usaha yang tidak pernah putus. Anak-anak Kulai telah membuktikan bahawa dengan disiplin dan sokongan yang betul, mereka mampu mencipta kecemerlangan.
“Kejayaan yang diraih bukan sekadar keputusan peperiksaan, malah melambangkan disiplin, semangat juang serta pengorbanan ibu bapa dan guru dalam membentuk masa depan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk masa depan negara dan SPM hanyalah permulaan.
Program yang memasuki tahun keempat itu menyaksikan Teo telah memperuntukkan RM555,000 sejak 2022.
-AA-





