
Laporan/foto: Zulkifli Othman/Nik Awang Yaacob (Terengganu)
BESUT, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Penjawat awam memainkan peranan penting sebagai pelaksana dasar kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap serta berkesan kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata aspek penyampaian maklumat kepada rakyat perlu dipertingkatkan selain menghindari kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan kecekapan perkhidmatan.
“Kerjasama dan semangat kerja berpasukan antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan perlu diperkukuhkan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih efektif dan mesra rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama Penjawat Awam Daerah Besut yang berlangsung di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata daerah Besut merupakan pintu masuk utama pelancong ke negeri Terengganu, sekali gus menuntut penjawat awam agar sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan pelancong.
-AA-





