Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Mangsa Kebakaran Taman Ehsan Bakal Terima Bantuan RM15,000

By 4 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

KEPONG, 4 Mei (MalaysiaAktif) – Empat keluarga yang hilang tempat berteduh dalam kejadian kebakaran di Taman Ehsan, 30 April lepas bakal menerima bantuan RM15,000 masing-masing.

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo berkata sumbangan berkenaan melibatkan peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan juga peruntukan pejabat Parlimen.

“Ini adalah bantuan untuk jangka masa pendek bagi meringankan beban mereka. Saya faham ini adalah pengalaman yang sangat pahit, lebih-lebih lagi rumah mereka rosak teruk,” katanya kepada media selepas melawat mangsa, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah ICU JPM Selangor Datuk Mohd Khidir Majid.

Menteri Digital itu berkata pihaknya juga sedang menyemak jenis bantuan lain yang boleh disalurkan khusus bagi tujuan pembinaan semula kediaman mangsa.

“Cabaran utama mangsa adalah ketiadaan perlindungan insurans rumah yang menyukarkan proses pemulihan fizikal kediaman mereka. Jadi, untuk jangka masa panjang, kita sedang menyemak jenis bantuan yang boleh disalurkan.

“Saya akan terus memantau keadaan ini untuk melihat tindakan susulan yang boleh diambil,” katanya sambil menambah pihaknya akan menguruskan isu penginapan sementara bagi mangsa yang masih belum mempunyai tempat berteduh.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 53 tahun maut dalam kebakaran membabitkan empat unit rumah teres itu selain dua kenderaan juga musnah terbakar.

-FN

Tinggalkan komen anda