Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

999 Kes Tibi Di Kelantan Tahun Lepas

By 8 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Mohd Zulfadli Ab Hamid (Machang)

MACHANG, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Sebanyak 999 kes tuberkulosis (tibi) dilaporkan di Kelantan pada tahun lepas, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu pencapaian sukses rawatan yang direkodkan telah mencapai sasaran 90 peratus yang ditetapkan iaitu 94.6 peratus.

“Kadar kematian penyakit tibi pada tahun lepas pula ialah sebanyak 106 kes, menurun sebanyak tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Tuberkulosis Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang menjadi platform memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyakit berjangkit tersebut serta usaha bersepadu membanteras penularannya.

Program tahunan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Machang dan Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MAPTB) Cawangan Kelantan itu turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta komuniti setempat.

Sambutan tahun ini mengangkat tema “Yes! We Can End TB! Led by Countries, Powered by People” yang menekankan peranan kolektif semua pihak dalam usaha menamatkan TB.

Hilmi berkata penganjuran sambutan berkenaan penting dalam menyokong komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengesan, merawat dan mencegah tibi melalui pendekatan bersepadu selaras sasaran mengakhiri penyakit itu sebagai ancaman kesihatan awam menjelang tahun 2035.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar peka terhadap simptom tibi seperti batuk berpanjangan, demam berlarutan, keletihan melampau dan penurunan berat badan serta mendapatkan pemeriksaan awal di premis kesihatan.

-FN

Tinggalkan komen anda