Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

APMM Johor Tahan Dua Bot Tunda Bawa Minyak Tanpa Dokumen Bernilai RM19.55 Juta

By 8 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KOTA TINGGI, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan dua buah bot tunda asing yang dipercayai membawa dan menyimpan minyak tanpa dokumen sah dengan nilai rampasan dianggarkan RM19.55 juta dalam operasi di perairan timur Johor, Isnin lepas.

Pemangku Pengarah APMM Johor Kama Azri Kamil berkata kedua-dua bot itu ditahan hasil risikan dan pemantauan terhadap pergerakan mencurigakan di laluan strategik perairan negara.

Beliau berkata bot tunda pertama ditahan kira-kira pukul 10.50 malam di kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat, Kota Tinggi manakala bot kedua ditahan kira-kira 40 minit kemudian di lokasi 3.0 batu nautika tenggara kawasan sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tunda berdaftar di Tanzania dan dikendalikan 10 kru warga Indonesia berusia antara 26 hingga 54 tahun.

“Siasatan awal turut mendapati vesel terbabit gagal melaporkan ketibaan ketika memasuki perairan negara, sekali gus melanggar Kaedah 10 Peraturan-Peraturan Pelabuhan 1954,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan muatan minyak dipercayai jenis Marine Gas Oil (MGO) tanpa dokumen sah selain mendapati terdapat pengubahsuaian mencurigakan pada tangki bot.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 manakala semua kru ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/1963 bagi membantu siasatan lanjut.

-AA-

Tinggalkan komen anda