
Laporan/Foto:Hamidah Len/Marusin Menudin(Sabah)
KOTA KINABALU, 19 Mei (MalaysiaAktif)– Momokan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sukar mendapatkan pekerjaan adalah realiti yang tidak dapat disangkal.
Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangat atlet para renang Sabah, Abdul Halim Mohammad untuk terus melakar kejayaan sehingga dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia sempena Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Bagi Abdul Halim, sukan bukan sekadar gelanggang pertandingan, sebaliknya menjadi sumber pendapatan dan platform membina kehidupan sebagai atlet OKU.
“Mula-mula saya cuba sukan ini, kemudian nampak potensi dan terus konsisten sampai hari ini.
“Untuk golongan kurang upaya, peluang pekerjaan memang terhad. Jadi sukan menjadi salah satu peluang yang saya nampak untuk membina kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaAktif pada Majlis Insentif Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025 di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Pada majlis itu, Abdul Halim menerima insentif tertinggi berjumlah RM54,000 yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Atlet kelahiran Sabah itu meraih lima pingat emas acara individu dengan empat rekod baharu, selain satu pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi acara berpasukan pada temasya Para ASEAN Ke-13 di Thailand.
Penglibatan beliau dalam sukan para bermula sejak berusia 10 tahun sebelum serius dalam acara renang pada umur 19 tahun.
“Saya mula mewakili negara pada temasya Para ASEAN di Solo pada 2022 sebelum meneruskan cabaran di Kemboja dan Thailand.
“Pencapaian tertinggi saya setakat ini ialah di Thailand apabila berjaya memenangi tujuh pingat keseluruhan,” jelasnya.
Abdul Halim berkata, sokongan keluarga serta bantuan Majlis Sukan Negeri Sabah banyak membantu membina keyakinannya untuk terus berjaya.
Beliau juga menggalakkan golongan muda terutama individu OKU supaya tidak takut mencuba bidang sukan.
“Setiap orang ada kekurangan, tetapi jangan fokus kepada kelemahan itu.
“Fokus kepada kelebihan diri kerana di situlah adanya peluang dan kemudahan,” pesannya bersemangat.
-RJ-





