Skip to main content
Berita TempatanSabah

Busana Sia Manavak Terima Tempahan Berganda Jelang Kaamatan

By 7 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hirniezah Tabin (Beaufort)

BEAUFORT, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Busana tradisional Sia Manavak etnik Kadazan Dusun Klias menerima tempahan berganda menjelang Pesta Kaamatan.

Pengusaha busana etnik Mohd Azahari Ajit berkata musim Kaamatan merupakan tempoh paling sibuk bagi memenuhi permintaan pelanggan dari pelbagai daerah di Sabah.

“Peningkatan ketara berlaku menjelang musim perayaan sehingga ada tempahan yang terpaksa ditolak bagi menjaga kualiti penghasilan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Penerangan Daerah Beaufort, di sini semalam.

Menurut Mohd Azahari, proses menyiapkan satu busana mengambil masa antara tiga minggu hingga tiga bulan bergantung kepada saiz serta tahap kerumitan sulaman.

Beliau menjelaskan Sia Manavak menjadi lambang identiti masyarakat Kadazan Dusun Klias yang kaya dengan nilai budaya dan sejarah.

“Setiap sulaman seperti vusak linangkit, tusuk antai dan tombeeh tasok pa’ga membawa cerita serta makna tersendiri,” katanya.

Mohd Azahari berkata warna pada busana mempunyai simbolik tertentu iaitu merah melambangkan keberanian, kuning sebagai tanda kebanggaan manakala hijau melambangkan kehidupan serta kesuburan.

Beliau menegaskan elemen tradisi tetap menjadi keutamaan dalam setiap rekaan yang dihasilkan bagi memastikan keaslian corak tidak hilang.

Selain Sia Manavak, busana etnik Murut Tahol dan Dusun Klias turut mendapat perhatian generasi muda hasil pendedahan menerusi media sosial.

Mohd Azahari berharap lebih ramai golongan muda tampil mempelajari kemahiran sulaman tersebut bagi memastikan warisan busana tradisional terus kekal dan tidak pupus.

-RJ-

Tinggalkan komen anda