
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wenanddo (Mukah)/Abdul Latip Shamsuddin/Mohd Ilham Joni (Serian)
KUCHING, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus komited meringankan beban golongan sasar sempena sambutan Hari Gawai menerusi Majlis Sejambak Kasih.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohamad Razi Sitam berkata program tersebut berperanan penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Majlis ini dilaksanakan dengan objektif jelas iaitu membantu meringankan beban kewangan penerima bantuan JKM dalam membuat persediaan menyambut perayaan,” katanya ketika menyempurnakan majlis di Rumah Panjang Kampung Daha Kisau, Tebedu, semalam.
Menurut Mohamad Razi, seramai 100 penerima bantuan kebajikan di Bahagian Serian diraikan dalam majlis berkenaan yang turut melibatkan penyampaian bantuan strategik seperti Kenyalang Gold Card dan bantuan sekolah.
Dalam majlis berasingan di Rumah Ajah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata inisiatif tersebut merupakan medium penting dalam memperkukuh perpaduan serta hubungan harmoni masyarakat berbilang kaum.
“Program ini bukan sahaja membantu golongan memerlukan malah mendekatkan pemimpin dengan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Royston menjelaskan kebajikan rakyat tidak hanya tertumpu kepada pemberian bantuan semata-mata sebaliknya melibatkan perhatian terhadap warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta keluarga yang memerlukan sokongan.
Dalam program tersebut, Rumah Ajah turut menerima geran aktiviti berjumlah RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti setempat.
Sementara itu, penerima Bantuan Ihsan Kematian Jenyfer Bitin, 40, melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima bagi meringankan beban keluarga membuat persiapan Gawai.
Pelaksanaan Program Sejambak Kasih secara berterusan sejak 20 tahun lalu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan golongan sasar tidak tercicir daripada merasai kegembiraan musim perayaan.
-RJ-





