
Laporan/foto: Syuhada Yasin/Fatin Nabila Muktar
POKOK SENA, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Golongan remaja turut berisiko tinggi menjadi mangsa penipuan khususnya melibatkan urusan pembelian secara dalam talian dan promosi palsu di media sosial.
Pegawai Penyiasat Jenayah Komersil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Insp. Muhamad Amirul Zahari berkata golongan berkenaan seharusnya tidak terlalu teruja sekiranya menerima tawaran harga yang murah melibatkan sesuatu produk atau perkhidmatan.
“Penipu sering menggunakan taktik ini untuk menjerat mangsa, lebih-lebih lagi bagi barangan yang menjadi kegilaan remaja masa kini seperti telefon pintar dan aksesori motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah kesedaran jenayah siber dan ancaman scammer kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, di sini hari ini.
Program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai taktik licik penjenayah siber yang semakin berleluasa serta tidak mengenal usia mangsa.
Beliau berkata polis turut menerima banyak laporan membabitkan golongan muda yang kerugian wang simpanan sendiri selepas terpedaya dengan iklan palsu di platform media sosial.
Sementara itu, pihak sekolah menyifatkan program berkenaan sebagai usaha penting dalam membentuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar mengenai keselamatan digital dan penggunaan internet secara bijak.
Melalui pendedahan secara langsung daripada Polis Diraja Malaysia, para pelajar diharap lebih berwaspada sebelum membuat sebarang transaksi kewangan serta sentiasa menyemak latar belakang penjual bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan siber.
-AA-





