Skip to main content
SarawakRencana & Pendapat

Galeri Warisan Melanau Oya Jadi Pusat Rujukan Budaya dan Tarikan Pelancong

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kamarulzaman Ahmad/Mohammad Izwan Nazahar (Dalat)

DALAT, 20 Mei (MalaysiaAktif) — Galeri Warisan Melanau di daerah kecil Oya terus memainkan peranan penting dalam usaha memelihara khazanah budaya masyarakat Melanau menerusi pameran artifak, pakaian tradisional dan dokumentasi sejarah komuniti tersebut.

Galeri berkenaan kini menjadi antara mercu tanda budaya utama di daerah Dalat serta berfungsi sebagai pusat pemuliharaan identiti masyarakat Melanau yang kaya dengan adat, seni warisan dan sejarah tersendiri.

Pelbagai koleksi dipamerkan termasuk pakaian tradisional seperti baju kurung berhias serba, peralatan harian tradisi serta bahan berkaitan sejarah sosioekonomi masyarakat pesisir yang menjadi medium pendidikan kepada generasi muda untuk mengenali asal-usul dan warisan nenek moyang mereka.

Menurut Penyelia Galeri, Nur Fazila Jam galeri tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung luar termasuk rombongan sekolah dan pelancong.

“Galeri ini kerap dikunjungi orang luar terutamanya pada hujung minggu selain menerima lawatan rombongan sekolah.

“Ia bukan sekadar tempat menyimpan khazanah warisan Melanau, malah kami mahu menjadikannya sebagai hab rujukan utama kebudayaan Melanau di Sarawak bagi pengkaji dan pelancong,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, petugas galeri, Nur Amsyar Omar Ali berkata pengunjung sering melahirkan rasa kagum terhadap keunikan seni bina dan hasil kraftangan masyarakat Melanau yang dipamerkan di premis berkenaan.

“Setiap pameran di sini membawa cerita kehidupan datuk nenek moyang kita yang perlu difahami dan dihargai oleh generasi muda agar warisan ini terus kekal terpelihara,” jelas beliau.

Kewujudan galeri tersebut turut dilihat mampu memperkukuh sektor pelancongan domestik sekali gus mengangkat Oya sebagai destinasi warisan budaya yang mempunyai nilai sejarah dan identiti tersendiri di Sarawak.

Sokongan berterusan daripada masyarakat setempat serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan usaha pemeliharaan khazanah budaya itu dapat diteruskan demi generasi akan datang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda