
Laporan/foto: Suhaime Sahirul (Sipitang)
SIPITANG, 4 Mei (MalaysiaAktif) – Pengalaman sulung dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan tidak menghalang Hilda Jaynissa Godwin menyarung selempang juara peringkat daerah di sini, semalam.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Hilda, 28, mewakili Sipitang ke peringkat kebangsaan di Dewan Hongkod Koisaan hujung Mei ini.
Beliau berkata impian untuk mencuba nasib ke pentas akhir tercapai hasil sokongan padu ahli keluarga, rakan serta guru sekolahnya.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai pertandingan ini dan memang saya betul-betul mahu mencuba nasib dengan galakan daripada guru saya,” katanya selepas pertandingan tersebut.
Hilda menyertai pertandingan tersebut memandangkan tahun ini merupakan peluang terakhirnya sebelum mencapai had umur penyertaan pada tahun hadapan.
Beliau menzahirkan rasa syukur apabila hasil pembelajaran berkenaan tatacara Unduk Ngadau (UNK) membuahkan hasil.
“Ulang kaji seperti sesi soal jawab, tatarias dan cara berjalan banyak menyumbang kepada kejayaan saya merangkul gelaran juara,”
Dalam pada itu, Penyelaras UNK Peringkat Daerah Sipitang, Yvan Hazel Jimis berkata peserta tahun ini menunjukkan kesediaan sepenuhnya dalam pelbagai aspek.
Yvan menjelaskan aspek yang diutamakan termasuklah pengetahuan asas, pakaian tradisi serta kemahiran tatarias.
“Peserta yang mengikuti pertandingan ini berusia antara 21 hingga 28 tahun dan mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan,” katanya.
Menurut beliau peserta turut belajar resipi tradisi, cara bermain alat muzik seperti gong serta mengikuti kursus keyakinan diri.
Yvan berharap penyertaan sebegini terus mendapat sambutan dalam kalangan belia pada masa akan datang bagi memastikan budaya tersebut tidak ditelan zaman.
-RJ-





