
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/SWCorp Johor
JOHOR BAHRU, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 18 pesalah berusia antara 21 hingga 57 tahun melaksanakan kerja pembersihan awam di Taman Rekreasi Jalan Sri Putri 6/3, Kulai menerusi pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-9 anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed, berkata pelaksanaan PKM bukan sekadar hukuman, sebaliknya berperanan sebagai instrumen pendidikan sosial bagi membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan awam.
Menurut beliau, kebersihan awam mencerminkan disiplin serta tahap ketamadunan masyarakat dan SWCorp akan terus memperkasa penguatkuasaan serta pendidikan awam secara konsisten bagi memastikan budaya membuang sampah merata-rata tidak lagi menjadi norma.
“Sebanyak 101 lokasi hotspot sampah kecil dikenal pasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 termasuk 13 lokasi di Johor.
“Sehingga kini, sebanyak 7,919 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan melibatkan 5,708 warganegara tempatan dan 2,211 warga asing,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Tambah beliau, SWCorp akan terus memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan, pendidikan awam dan pemantauan lapangan secara berterusan dalam usaha membudayakan amalan kebersihan yang lebih bertanggungjawab dan mampan demi merealisasikan Malaysia yang bersih, indah dan sejahtera.
-AA-





