Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Hari Jururawat 2026 Dirai Penuh Penghargaan

By 13 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amran Kamis (Baling)/Mohd Sukri Ibrahim/Mejar Mustaffar Salleh (Terengganu)

PUTRAJAYA, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Jururawat tahun ini disambut penuh makna dan penghargaan di seluruh negara bagi mengangkat kerjaya tersebut yang penting dalam sistem kesihatan negara

Di Baling, Kedah, Pengarah Hospital Baling, Dr. Selvannaayagam Shanmuganathan berkata jururawat merupakan aset kritikal dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan berjalan lancar dan berkesan.

Sebahagian jururawat Hospital Baling yang diraikan dalam sambutan berkenaan yang mengangkat kepentingan petugas barisan hadapan itu.

“Profesion jururawat bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi satu amanah yang menuntut pengorbanan, empati dan dedikasi yang tinggi. Terima kasih kepada seluruh jururawat Hospital Baling atas jasa dan komitmen yang diberikan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika berucap pada sambutan berkenaan, di sini semalam.

Setiap tahun pada 12 Mei, seluruh dunia menyambut Hari Jururawat sebagai tanda penghargaan kepada semua jururawat yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, kasih sayang dan keikhlasan dalam menjaga kesihatan masyarakat.

Jururawat Siti Nur Aisyah Abdul Halim berkata sambutan tersebut memberikan semangat kepada seluruh warga jururawat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Walaupun tugas sebagai jururawat penuh dengan cabaran dan memerlukan pengorbanan, kami tetap menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas demi memastikan setiap pesakit mendapat rawatan dan penjagaan yang sempurna,” katanya.

Jururawat di setiap wad di Hospital Dungun menerima kek ketika kunjungan khas Ahli Lembaga Pelawat hospital berkenaan sempena sambutan Hari Jururawat 2026.

Sementara itu, di Dungun, Terengganu, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Dungun telah mengadakan kunjungan khas sebagai tanda menghormati jasa dan pengorbanan warga jururawat yang menjadi tunjang utama sistem kesihatan negara.

Pengerusinya, Zulkifli Ali yang mengetuai kunjungan itu menzahirkan jutaan terima kasih kepada petugas barisan hadapan itu yang sentiasa bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain menyampaikan kek kepada jururawat di setiap wad.

Tema sambutan tahun ini, “Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Save Lives” dilihat amat bertepatan dalam mengiktiraf profesion jururawat yang sentiasa komited memberikan rawatan dan penjagaan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira masa serta keadaan.

-RI

Tinggalkan komen anda