Skip to main content
Rencana & Pendapat

Bukit Fraser, Destinasi Tanah Tinggi Pilihan Pelancong

By 13 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Izarina KMI/Juhaisa Azrin (Raub)

RAUB, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Bukit Fraser terus kekal sebagai antara destinasi tanah tinggi pilihan pelancong tempatan dan luar negara kerana keindahan alam semula jadi serta suasana nyaman yang mendamaikan.

Terletak di daerah Raub, Pahang, kawasan peranginan ini terkenal dengan kehijauan hutan, udara segar dan seni bina kolonial yang unik.

Walaupun berdepan persaingan daripada destinasi tanah tinggi lain di negara ini, Bukit Fraser atau Fraser’s Hill tetap menawarkan pengalaman percutian yang lebih tenang dan eksklusif.

Aktiviti seperti pemerhatian burung, berjalan kaki di denai hutan serta berbasikal menjadi tarikan utama bagi pencinta alam.

Selain itu, kebanyakan bangunan di kawasan tersebut masih mengekalkan reka bentuk ala Inggeris yang klasik, selari dengan gelaran Bukit Fraser sebagai ‘The Little England of Malaysia‘.

Seorang pengunjung, Puteri Nur Qistina Norsyahrizal, 18, berkata suasana di Bukit Fraser sangat menenangkan dan sesuai dijadikan lokasi percutian bersama keluarga.

“Udara di sini sangat segar dan suasananya tenang. Saya rasa seperti berada di luar negara kerana reka bentuk bangunan dan cuacanya yang sejuk,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Acara tahunan seperti Festival Burung Antarabangsa turut membantu meningkatkan populariti Bukit Fraser sebagai destinasi ekopelancongan terkenal di negara ini.

Pada masa sama, usaha berterusan dalam pemeliharaan alam sekitar menjadikan kawasan ini contoh terbaik pelancongan lestari di Malaysia.

Bukit Fraser bukan sekadar destinasi percutian, malah menawarkan ketenangan, keindahan alam semula jadi dan pengalaman yang sukar dilupakan kepada setiap pengunjung.

-RI

Tinggalkan komen anda