Skip to main content
Berita TempatanSarawak

IPD Mukah Tangkap Lelaki Warga Asing Miliki Syabu

By 5 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah

MUKAH, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditangkap dalam operasi membanteras pengedaran dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di kawasan Selangau, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan pada 25 Mei hasil risikan dan pemantauan polis terhadap aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Menurut Muhamad Rizal, serbuan dilakukan di sebuah pondok di Bukit Jalan Mukah-Selangau berhampiran laluan jejambat Selangau selepas polis menerima maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan suspek.

“Semasa serbuan dijalankan, suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Namun, pasukan serbuan berjaya menahan lelaki terbabit di bahagian belakang pondok berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Hasil pemeriksaan menemukan 22 keratan tiub straw lutsinar dan 25 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu di dalam sebuah beg silang hitam milik suspek.

“Anggaran berat kasar keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 63.46 gram dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM3,200,” katanya.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai buruh ladang sawit di kawasan tersebut dan direman selama tujuh hari sehingga 2 Jun depan bagi membantu siasatan.

“Pihak polis amat komited dalam membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini. Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa menyalurkan maklumat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian Hotline IPD Mukah di 084-871222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

-RJ-

Tinggalkan komen anda