Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kejohanan Wushu Bahagian Mukah 2026 Jadi Platform Cungkil Bakat

By 27 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Sharon Yeo (Mukah)

DALAT, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Kejohanan Wushu Bahagian Mukah 2026 yang berlangsung di Stadium Perpaduan Dalat, semalam berjaya menghimpunkan hampir 100 atlet muda dari seluruh Bahagian Mukah bagi mencungkil bakat baharu peringkat akar umbi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejohanan tersebut membuka ruang kepada belia menonjolkan bakat serta membantu membentuk jati diri dan disiplin yang tinggi.

“Kejohanan kali ini melibatkan penyertaan 98 peserta dari daerah Dalat, Oya, Mukah dan Balingian dengan sebanyak 106 acara dipertandingkan menerusi kategori Wushu Taolu dan Wushu Sanda,” jelasnya ketika menyempurnakan majlis tersebut.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat memberitahu, perkembangan sukan wushu di Bahagian Mukah amat memberangsangkan apabila semakin ramai kanak-kanak dan belia pelbagai kaum menunjukkan minat.

Menurut Fatimah, tiga atlet dari daerah Dalat turut membanggakan apabila berjaya mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Beliau turut menyeru ibu bapa supaya terus memberi galakan kepada anak-anak untuk aktif dalam bidang sukan bagi membentuk sahsiah, kepimpinan dan daya tahan diri.

Fatimah menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pembangunan belia dan sukan kerana pelaburan dalam pembangunan insan amat penting bagi masa depan negeri.

Pada majlis sama, Geran Peruntukan ADUN Dalat Fasa II Tahun 2026 berjumlah RM8,000 diserahkan kepada Persatuan Kelab Wushu Dalat bagi menyokong pelaksanaan program dan pembangunan sukan tersebut.

-RJ-

Tinggalkan komen anda