
Laporan/foto: Rose Ryqal (Kuala Langat)
KUALA LANGAT, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah terus diperkasa menerusi penganjuran Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang berlangsung di Dewan Desa Permatang Jaya, Kampung Permatang Pasir, di sini kelmarin.

Penglibatan menyeluruh semua lapisan masyarakat diperlukan bagi membenteras gejala penyalahgunaan dadah.
Program Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Langat yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu menghimpunkan penyertaan masyarakat setempat serta pelbagai agensi kerajaan dalam usaha memperluas kefahaman mengenai ancaman dadah dan memperkukuh jaringan kerjasama strategik di peringkat komuniti.
Pegawai Daerah Kuala Langat YM Tengku Rohana Tengku Nawawi, menegaskan usaha memberi kesedaran berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kita semua sedia maklum bahawa gejala dadah boleh memberi kesan yang sangat besar bukan sahaja kepada individu yang terlibat, malah turut memberi kesan kepada keluarga, masyarakat dan juga pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.
Beliau, berkata masyarakat tidak seharusnya memandang isu tersebut sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan seharian kerana gejala dadah boleh berlaku di mana-mana sekiranya aspek keprihatinan dan pencegahan diabaikan.
“Kadang-kadang kita rasa perkara seperti ini jauh daripada kehidupan kita, tetapi hakikatnya ia boleh berlaku di mana-mana jika kita leka dan tidak mengambil peduli. Sebab itu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Pertandingan Dam Aji yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh semua lapisan masyarakat.
“Saya percaya, jika masyarakat dan agensi kerajaan dapat bergerak bersama serta saling membantu, insya-Allah kita mampu mewujudkan komuniti yang lebih selamat, sihat dan bebas daripada gejala sosial yang tidak sihat,” ujarnya.
JABD mendapat kerjasama pelbagai jabatan dan agensi antaranya Pejabat Penerangan Daerah Kuala Langat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan serta beberapa rakan strategik lain.
Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang program berlangsung termasuk sesi ceramah kesedaran antidadah, pameran agensi, aktiviti komuniti serta perkongsian maklumat berkaitan usaha pencegahan dadah di peringkat akar umbi.
Pendekatan turun padang menerusi program seumpama itu dilihat penting dalam memastikan mesej “Bebas Dadah” dapat disampaikan secara lebih dekat kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan remaja, sekali gus menyemarakkan semangat komuniti untuk bersama-sama mewujudkan persekitaran yang sihat, selamat dan bebas daripada ancaman dadah.
-RI





