Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Gerik Megatrails 2026 Perkukuh Pelancongan Keindahan Alam Semula Jadi Hulu Perak

By 11 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Senaying Ahud/Mohd Syahmi Mohamed Marzuky (Hulu Perak)

GERIK, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Gerik Megatrails bukan sekadar acara sukan lasak, malah menjadi platform bagi mempromosikan keindahan alam semula jadi Hulu Perak termasuk Tasik Temenggor, Pulau Banding dan Royal Belum, kata Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad.

“Penyertaan dari dalam dan luar negara termasuk Thailand membuktikan bahawa program ini mempunyai potensi untuk berkembang sebagai acara sukan lasak bertaraf serantau selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika berucap merasmikan program, di sini kelmarin.

Program Gerik Megatrails 2026 yang berlangsung selama enam hari bermula 5 Mei lepas di Lapangan Terbang Gerik, mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan lasak dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Gerik Ahmad Fazril Ramli, berkata program tersebut terus menjadi tarikan kepada pelbagai golongan termasuk masyarakat tempatan serta peserta dari luar.

“Setiap tahun penglibatan dan penyertaan daripada kumpulan luar sangat memberangsangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa merangkap Ketua Unit Landskap dan Pelancongan Majlis Daerah Gerik Mohd Zamadi Osman, berkata kategori motocross menerima lebih 700 penyertaan melibatkan laluan hampir 219 kilometer.

“Laluan itu merentasi Hutan Simpan Temengor, Kenering serta Hutan Simpan Piah dan dijadual berakhir pada 10 Mei. Bagi kategori pacuan empat roda (4X4) pula kita menerima lebih 150 penyertaan,” ujarnya.

Tambah Zamadi, penganjuran program seumpama ini mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat menerusi sektor penginapan, makanan, perniagaan dan pelancongan sekali gus memperkukuh imej Gerik.

-RI

Tinggalkan komen anda